Lihat Kenyataan Akhbar > Kenyataan Akhbar Y.B. Menteri Kesihatan Malaysia

Tajuk International Food Safety Conference
Penerangan

JATA

KENYATAAN AKHBAR

“INTERNATIONAL FOOD SAFETY CONFERENCE”

16-18 JULAI 2012, KUALA LUMPUR, MALAYSIA

__________________________________________________

 

KUALA LUMPUR, 16 Julai 2012 - Malaysia menjadi tuan rumah kepada “International Food Safety Conference” pada 16 hingga 18 Julai 2012 di Kuala Lumpur, dengan tema “Building Global Trust and Confidence in Food Safety”. Persidangan ini dianjurkan secara bersama oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Institut Teknologi Makanan Malaysia (MIFT) dengan kerjasama University of Maryland, Amerika Syarikat. Ia telah dirasmikan oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia, Dato' Sri Liow Tiong Lai.

 

Penganjuran International Food Safety Conference ini adalah tepat pada masanya kerana kebelakangan ini, kepercayaan pengguna terhadap pihak pengimport, pengeluar makanan, pengeksport dan pihak berkuasa dalam keselamatan makanan telah dikompromi dan terhakis akibat krisis dan kebimbangan makanan global yang berulang disebabkan oleh makanan yang tercemar.

 

Adalah satu tugas yang berat untuk membina kepercayaan dan keyakinan pengguna dan pengimport selepas berlakunya insiden-insiden berkenaan kerana ia memerlukan masa untuk mengatasi masalah ini. Salah satu keperluan asas bagi mengekal atau mempertingkatkan kepercayaan dan keyakinan terhadap keselamatan bekalan makanan adalah melalui pengukuhan sistem kawalan makanan di sepanjang rantaian bekalan makanan.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai Competent Authority ke atas keselamatan makanan di sepanjang rantaian bekalan di Malaysia telah memulakan pelbagai inisiatif baru bagi mengukuhkan sistem keselamatan makanan. Seperti pendekatan secara bersistem, amalan baik, jaminan keselamatan makanan dan kebolehkesanan di sepanjang rantaian bekalan makanan Ini akan memastikan hanya makanan yang selamat dan berkualiti memasuki pasaran dan memudahkan penarikan semula sasaran secara berkesan sekiranya berlaku pencemaran.

 

Malaysia berbangga untuk mengumumkan mengenai penubuhan Centre for Food Safety yang dilengkapi dengan peralatan makmal terkini, yang akan membentuk cabang saintifik bagi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Malaysia juga sedang berusaha mengambil inisiatif untuk menubuhkan International Food Safety Training Laboratory (IFSTL) Malaysia yang akan menyediakan akses kepada latihan keselamatan dan kualiti makanan yang berkualiti ke atas melalui kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa. IFSTL Malaysia akan menyediakan keperluan pembangunan kapasiti negara dalam analisis makanan dan bidang keselamatan makanan lain, di samping bertindak sebagai pusat kecemerlangan bagi keselamatan makanan di rantau ini. Ia juga akan dapat mempromosikan eksport produk Malaysia yang selamat untuk pasaran global dan menonjolkan Malaysia sebagai hub keselamatan makanan di rantau ini.

 

Persidangan ini akan menampilkan pakar-pakar kebangsaan, serantau dan antarabangsa dalam krisis dan kebimbangan makanan global semasa yang disebabkan oleh makanan yang tercemar termasuk susu tercemar, minuman ringan, bahan radioaktif, E.coli 0157/H7 dalam sayur-sayuran dan lain-lain secara terus daripada negara-negara yang terjejas.

 

International Food Safety Conference ini juga akan membincangkan pengetahuan dan pembangunan saintifik terkini mengenai keselamatan makanan dari pihak berkuasa, akademia dan industri. Melalui pengetahuan, pengalaman dan amalan praktikal know-how mengenai pendekatan global ke atas keselamatan makanan, pemeriksaan dan pensijilan makanan, kawalan keselamatan makanan dan penyelidikan akan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan global.

 

Malaysia amat berbangga menjadi sebahagian daripada acara peringkat antarabangsa yang besar ini, yang akan mencorak masa depan keselamatan makanan global dalam “Building Global Trust and Confidence in Food Safety”.

 

Dato 'Sri Liow Tiong Lai

Menteri Kesihatan Malaysia

16 Julai 2012

Ditambah pada 16-07-2012

Kembali