21 Mei 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada T.Y.T Dr. Mubarak Saeed Al Dhaheri, Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia. Sesi kunjungan hormat ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan UAE terutamanya dalam diplomasi kesihatan.
Antara perkara yang dibincangkan adalah potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan genom memandangkan Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang bangsa. Pihak UAE bersedia untuk berkongsi pengalaman luas mereka dalam penyelidikan genom ke atas populasi UAE dan membantu Malaysia untuk menyediakan ekosistem yang sesuai bagi tujuan penyelidikan ini. Selain itu, KKM telah menyatakan hasrat untuk mempelajari lebih lanjut berkenaan "bio-banking" dan pendigitalan kesihatan yang telah berjaya dilaksanakan di UAE. Malaysia dan UAE juga akan berkerjasama dalam bidang ujian klinikal serta penyelidikan yang melibatkan kesihatan.
Kunjungan hormat pada hari ini turut dihadiri oleh Dr. Fahed Al Marzooqi, Timbalan Ketua Pegawai Operasi di M42, Mr. Khaled Al Zaabi, Pengarah Antarabangsa dan Hal Ehwal Kerajaan di M42, YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), YBrs. Dr. Akhmal Yusof, CEO Clinical Research Malaysia (CRM) dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kemaskini pada 2024-05-24 16:02:22 daripada UKK Norhanita