5 Julai 2024- YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan telah menghadiri sesi libat urus bersama wakil persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Borneo Royale Hotel, Tawau, Sabah.
Sesi perbincangan ini melibatkan wakil Persatuan Peniaga-Peniaga Makanan dan Minuman Tawau, wakil Peniaga India Muslim Tawau, pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (IKRAM Health) serta agensi-agensi tempatan di daerah Tawau.
Tujuan sesi perbincangan ini diadakan adalah untuk memberikan peluang kepada pengusaha kedai tempatan untuk menyalurkan sebarang pertanyaan mahupun pandangan dalam usaha menzahirkan premis makanan yang lebih selesa, indah dan bersih serta mewujudkan negara yang sihat dan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok pada tahun 2040. Selaras dengan program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap atau ringkasnya ”BeBAs” yang diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan pemahaman, sokongan dan pematuhan masyarakat terutamanya pengusaha premis makanan dan penjaja. Sesi libat urus ini juga dilakukan bagi memperhalusi kerjasama antara pengusaha premis makanan dengan agensi Kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Turut hadir, YBrs. Ts. Norrani Eksan, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, YBhg. Datuk Dr. Asits Sanna Pengarah Kesihatan Sabah, YBrs. Dr. Noraryana Hassan, Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) Bahagian Kawalan Penyakit KKM.
Kemaskini pada 2024-07-09 10:51:11 daripada UKK Norhanita