22 Julai 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah hadir merasmikan inovasi terbaharu Institut Jantung Negara (IJN) iaitu Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular ('Cardiovascular Risk Reduction Clinic', CRRC) yang pertama seumpamanya di Auditorium IJN, Kuala Lumpur.
Inovasi Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) IJN ini menandakan satu peristiwa penting dan inisiatif responsif dalam usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengoptimumkan penjagaan penyakit kardiovaskular di Malaysia. Di samping itu, ia juga menggariskan peranan penting IJN dalam menangani cabaran yang ditimbulkan oleh penyakit Kardiovaskular Aterosklerotik ('Atherosclerotic Cardiovascular Disease', ASCVD).
Di Malaysia terutamanya, penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti ASCVD menyumbang 71% daripada kematian pramatang dengan ASCVD sahaja bertanggungjawab untuk 54% daripada kematian berkaitan NCD. Lebih membimbangkan, Malaysia mempunyai kadar kematian 1 tahun tertinggi untuk STEMI ('ST-Elevation Myocardial Infarction') di rantau Asia Pasifik, dengan kadar 17.9%.
Statistik yang membimbangkan ini menggariskan keperluan kritikal untuk penjagaan kardiovaskular yang lebih baik dan strategi pencegahan dalam negara. Penubuhan CRRC inovatif IJN mengukuhkan status IJN sebagai peneraju dalam penjagaan kardiovaskular, penyelidikan dan pendidikan.
Dengan meluaskan jangkauan CRRC, IJN turut menyasarkan untuk menyampaikan penjagaan khusus kepada lebih ramai pesakit sambil merevolusikan penjagaan kesihatan kardiovaskular di seluruh negara. Hal ini, sejajar dengan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Kementerian Kesihatan 2016-2025.
Turut hadir, YBhg. Datuk Dr. Radzi Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan KKM, YBhg. Dato’ Seri Chen Chaw Min, Pengerusi IJN Holdings, YBhg. Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, YBhg. Dato’ Akmal Arief Mohamed Fauzi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, YBrs. Dr. Hasri Samion, Ketua Pegawai Klinikal IJN dan YBhg. Dato Sri Dr. Haji Azhari Rosman, Pakar Perunding Kanan Kardiologi, IJN.
Kemaskini pada 2024-08-06 09:37:02 daripada UKK Norhanita