19 Ogos 2024- YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menyampaikan amanat kepada para anggota Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan ahli jawatankuasa di bawahnya berkenaan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 dan Cadangan Peraturan-Peraturan Perubatan (Pindaan) 2024 di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
YB Menteri Kesihatan menekankan keperluan untuk melahirkan lebih ramai pakar perubatan di Malaysia memandangkan pada ketika ini, hanya sekitar 15.7% daripada doktor di Malaysia adalah doktor pakar. Ini jauh ketinggalan dengan kapasiti doktor pakar di Singapura contohnya, iaitu sekitar 40% dan di United Kingdom yang mempunyai lebih kurang 60% doktor pakar.
Malaysia telah berjaya melaksanakan beberapa polisi dalam sektor perubatan seperti memacu penyelidikan klinikal, farmaseutikal, peranti perubatan dan pelancongan kesihatan (health tourism). Pindaan ini adalah salah satu ikhtiar untuk memacu inovasi dan memimpin kemajuan amalan perubatan dan seterusnya sektor kesihatan seluruhnya.
Ini juga penting kerana impaknya kepada adalah amat besar seperti memendekkan tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan dan membuka ruang untuk melatih doktor-doktor baharu.
Maka pindaan ini harus dikuatkuasakan sesegera mungkin supaya proses untuk mendaftarkan seseorang doktor pakar di Malaysia dapat diperkemaskan. Selain itu, proses pengiktirafan dan pelaksanaan kelulusan dan latihan kepakaran perubatan juga boleh dibuat dengan lebih teratur dari segi perundangan.
Justeru, YB Menteri Kesihatan menyeru semua pihak untuk sama-sama berganding bahu agar Peraturan-Peraturan Perubatan (Pindaan) 2024 dapat direalisasikan selaras dengan hasrat #MalaysiaMadani dan Jemaah Menteri.
YB Menteri Kesihatan juga mengucapkan terima kasih kepada yang hadir secara fizikal mahupun dari jauh, yang tidak putus-putus menyatakan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk terus memajukan sektor kesihatan Malaysia.
Kemaskini pada 2024-08-26 11:48:07 daripada UKK Norhanita