22 Ogos 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada T.Y.T Edgard D. Kagan, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia. Sesi kunjungan hormat ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat terutamanya dalam diplomasi kesihatan.
Duta Besar Amerika Syarikat menyatakan bahawa Malaysia dan Amerika Syarikat telah menjalinkan hubungan dua hala yang sangat baik sejak sekian lama. Pihak Amerika Syarikat berhasrat untuk mengembang dan meningkatkan lagi jalinan hubungan ini dengan kerjasama erat dalam sektor kesihatan.
Pihak Amerika Syarikat bersedia untuk memberikan sebarang sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut kapasiti mereka, serta bekerjasama dalam pelbagai bidang kesihatan yang boleh memanfaatkan kedua-dua negara. YB Menteri Kesihatan juga telah mengucapkan terima kasih kepada pihak Amerika Syarikat atas bantuan yang dibekalkan kepada Malaysia ketika penularan wabak COVID-19.
Antara perkara-perkara lain yang dibincangkan meliputi peralatan perubatan, keperluan untuk mempromosi pengamalan budaya sihat bagi mengelakkan penyakit, serta potensi kerjasama dalam pembinaan kapasiti dan latihan. Duta Besar Amerika Syarikat menyatakan bahawa syarikat-syarikat mereka dalam bidang teknologi kesihatan dan perubatan sangat berminat untuk melabur di Malaysia.
Kunjungan hormat ini turut dihadiri oleh Pegawai-pegawai Kanan KKM dan Kedutaan Amerika Syarikat.
Kemaskini pada 2024-09-03 11:27:12 daripada UKK Norhanita