24 Ogos 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menghadiri Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) yang diadakan di Kampung Nelayan, Pulau Perhentian Kecil, Terengganu, petang ini.
Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap atau ringkasnya “BeBAs” di Kampung Nelayan, Pulau Perhentian Kecil ini merupakan lokasi kelima sejak bermulanya program ini pada Februari 2024 yang lalu.
Program ini bermula dengan sesi perjumpaan dan taklimat bersama wakil peniaga serta ketua komuniti setempat dan diikuti dengan aktiviti advokasi kepada semua tuan punya premis makanan seiring dengan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan.
Satu Pelan Tindakan Penambahbaikan atau Improvement Action Plan (IAP) di kawasan tersebut turut dilaksanakan melibatkan semua rakan strategik termasuk pengusaha premis makanan, agensi-agensi kerajaan dan swasta, rakan sukarelawan, badan profesional, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Sesi walkabout di Kampung Nelayan ini juga melibatkan 22 premis makanan dan sebanyak lapan (8) premis makanan telah berjaya mendapat pengiktirafan premis “Bersih dan Selamat” (BeSS).
Turut hadir, YBhg. Datuk Dr. Norhayati binti Rusli Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), KKM, YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan & Sokongan Teknikal) KKM dan YBhg. Dato' Dr. Kasemani binti Embong, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu.
Kemaskini pada 2024-09-03 11:49:11 daripada UKK Norhanita