26 Ogos 2024- YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan bersama YB Senator Puan Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah menyempurnakan pelancaran 'Club Zero' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
‘Club Zero’ merupakan sebuah kempen inovatif oleh Santan, anak syarikat katering dalam penerbangan dan makanan serta minuman di bawah Capital A yang mempromosikan pengurangan pengambilan gula dalam makanan. Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan pengguna membuat pilihan yang lebih sihat.
Berdasarkan kejayaan minuman tanpa kalori gula jenama Santan, seperti ZERO Watermelon Coconut Latte dan ZERO Pistachio Coconut Latte yang dijual dalam penerbangan, kempen ini menawarkan lebih banyak pilihan alternatif yang lebih sihat kepada pelanggan AirAsia.
Melalui kerjasama dengan jenama tempatan yang terkenal seperti Secret Recipe dan Tealive, Santan menetapkan standard baharu untuk pilihan makanan dan minuman rendah gula di Malaysia dan di seluruh rangkaian AirAsia.
Pelancaran Club Zero adalah langkah penting dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan pengambilan gula dan menggalakkan tabiat pemakanan yang lebih sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
YB Menteri Kesihatan berharap lebih banyak jenama akan mengikut jejak ini dengan menawarkan pilihan yang lebih sihat kepada pelanggan dan meningkatkan kesihatan awam melalui tawaran produk inovatif dan kerjasama strategik.
Turut hadir, YBhg. Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital, YBhg. Datuk Dr. Norhayati binti Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBrs. Puan Catherine Goh, Ketua Pegawai Eksekutif Santan, YBrs. Encik Bryan Loo Woi Lip, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif LOOB Holding Sdn. Bhd., YBrs. Encik Patrick Sim Chee Hong, Pengarah Urusan Secret Recipe Cakes & Cafe Sdn Bhd dan pegawai-pegawai kanan Kementerian dan agensi Kerajaan.
Kemaskini pada 2024-09-03 12:55:08 daripada UKK Norhanita