8 September 2024- YB Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan telah membuat lawatan ke Pemantauan Aktiviti Pengumpulan Data Banci Kesihatan NHMS 2024 : Pemakanan di Masjid Ad-Din dan Gereja St. Barnabas Anglican, Miri Sarawak.
Ketibaan YB. Dato di Masjid Ad-Din disambut oleh YBrs. Encik Alwie Amin, Pengerusi Masjid dan di Gereja St. Barnabas Anglican disambut oleh YBrs. Encik Jeffery N. Uvang, Pengerusi Bangunan Gereja.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi atau lebih dikenali sebagai National Health and Morbidity Survey (NHMS) adalah banci kesihatan yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum (IKU), Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan data berkaitan kesihatan dan morbiditi penduduk.
Pada tahun ini, NHMS 2024 akan memberi tumpuan kepada aspek pemakanan. Matlamatnya adalah untuk menentukan status pemakanan dan kesihatan penduduk di Malaysia dengan memantau tren dan amalan pemakanan penduduk.Tinjauan ini melibatkan kira-kira 5,280 tempat kediaman yang terpilih secara rawak di seluruh Malaysia dengan anggaran 8000 responden serta memfokuskan penduduk Malaysia berusia lima (5) tahun keatas.
Data NHMS 2024 merupakan maklumat penting yang terkini yang akan memberi input tentang status pemakanan penduduk di Malaysia. Hasil dapatan kajian ini akan membekalkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan kementerian serta agensi lain maklumat penting untuk mengkaji semula keutamaan dan inisiatif pemakanan negara serta memacu kemajuan negara ke arah komitmen global dan matlamat nasional.
#KKMSihat #KKMPrihatin #MalaysiaMADANI
Kemaskini pada 2024-09-17 22:39:59 daripada UKK Norhanita