11 September 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Salah Mohammed Al-Sorour, Duta Besar Qatar ke Malaysia. Sesi kunjungan hormat ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan Qatar terutamanya dalam diplomasi kesihatan.
Duta Besar Qatar amat menghargai hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Qatar yang telah terjalin sejak sekian lama. Malaysia dan Qatar sedang dalam proses untuk menyediakan Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam bidang kesihatan. Antara potensi kerjasama yang dibincangkan adalah dalam bidang pelancongan perubatan, farmaseutikal, keselamatan makanan, peranti perubatan dan pembinaan kapasiti serta latihan. Selain itu, KKM melalui agensi Medical Device Authority (MDA) turut menjemput pihak Qatar untuk menghadiri Mesyuarat ke-28 Global Harmonization Working Party (GHWP) dari 9 hingga 12 Disember 2024 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Malaysia sedia untuk menyokong permohonan keahlian Qatar di dalam GHWP semasa Mesyuarat GHWP ke-28 tersebut.
Kunjungan hormat ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan KKM dan pegawai kanan Kedutaan Besar Qatar.
Kemaskini pada 2024-09-19 21:09:23 daripada UKK Norhanita