3 Oktober 2024- YB Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan telah meneruskan Lawatan Jelajah Borneo Lawas pada hari kedua dengan melawat Klinik Kesihatan (KK) Trusan, Lawas, Sarawak.
Klinik Desa Trusan telah dibina pada tahun 1990 dan telah dinaiktaraf pada tahun 2000 menjadi Klinik Kesihatan (KK) Trusan. Klinik kesihatan ini memberi perkhidmatan kesihatan kepada 5092 orang penduduk di 31 kampung sekitar. Purata kedatangan pesakit ke KK Trusan adalah seramai 75 orang sehari.
Ketibaan YB Dato Lukanisman disambut dan diberikan taklimat ringkas oleh YBrs. Dr. Siti Noor Hidayah Abd Halim, Pegawai Perubatan yang menguasa Klinik. Dato Lukanisman turut dibawa melawat kawasan sekitar klinik untuk melihat infrastruktur yang telah dibaik pulih. Beliau juga sempat beramah mesra bersama petugas kesihatan.
Antara perkhidmatan yang disediakan di KK Trusan adalah Perkhidmatan Pesakit Luar dan Kecemasan termasuk Rawatan Pesakit Luar, Perkhidmatan Ambulans, Program Panel Penasihat Klinik Kesihatan, Program Wakil Kesihatan Kampung, Klinik Berhenti Merokok, Post Bite Clinic (PBC), Program Pain 5th Vital Sign, Saringan BSSK/NHSI/Peka B40, Skop Lanjutan atau Expenses Scope termasuk Saringan Status Kesihatan, Perkhidmatan Perawatan Dormisilliari, Perkhidmatan Kesihatan Sekolah, Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak dan Kesihatan Wanita.
Turut hadir, YB Dato Henry Sum Agong, Ahli Parlimen Lawas, YBrs. Dr. Rohani Mat Bah, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), YBrs. Dr. Rudy Ngau Ajeng, Pegawai Kesihatan Daerah Lawas, YBrs. Dr. Norliza, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang, dan Dr. Nur Fatihah Oh, Ketua Cawangan Pembangunan Kesihatan Keluarga Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Kemaskini pada 2024-10-07 08:40:55 daripada UKK Norhanita