5 Oktober 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menghadiri Karnival Pink October 2024 yang dirasmikan oleh YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.
Bertemakan "Living Well, Living Together" karnival ini bertujuan mengangkat nilai kesedaran, kekuatan dan kebersamaan dalam usaha memperkukuhkan kesedaran masyarakat mengenai kanser payudara dan kepentingan saringan awal.
Menurut Laporan Registri Kanser Kebangsaan 2017-2021, 1 daripada 8 rakyat Malaysia dijangka akan menerima diagnosis kanser sepanjang hayat mereka, dengan 1 daripada 23 wanita khususnya didiagnosis dengan kanser payudara.
Keseluruhan kes kanser yang dikesan pada tahap 3 dan 4 meningkat kepada 65.1 peratus pada 2017-2021, berbanding 63.7 peratus pada 2012-2016. Tren ini amat membimbangkan kerana kadar kelangsungan hidup jauh lebih rendah apabila kanser dikesan lewat.
Sebagaimana pesakit kanser payudara yang dikesan pada peringkat awal mempunyai risiko kematian 7.5 kali ganda lebih rendah berbanding mereka yang dikesan pada peringkat lewat.
Majlis turut menyaksikan pembentukan formasi reben merah jambu (pink ribbon) terbesar, melibatkan lebih 2,000 peserta, dalam usaha untuk memecahkan rekod Malaysia Book of Records, sebagai simbol komitmen bersama dalam perjuangan melawan kanser.
Kerajaan sentiasa komited dalam memperkukuh sistem kesihatan negara, khususnya dalam meningkatkan akses kepada rawatan kanser yang berkualiti.
Turut hadir, YBrs. Dr. Mohd Anis bin Haron @ Harun, Pengarah Institut Kanser Negara.
Kemaskini pada 2024-10-07 14:39:29 daripada UKK Norhanita