8 Oktober 2024- Majlis Sambutan Jubli Perak MKAK yang bertemakan “Dari Makmal ke Masyarakat – Mengoptimakan Penemuan yang Berpotensi dari Makmal untuk Memperkukuhkan Perkhidmatan Kesihatan Awam.” (From Bench to Community: Unleashing the Potential of Laboratory Findings in Public Health) telah dirasmikan oleh YB Dato Lukanisman Bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh.
Sambutan Jubli Perak ini diadakan sebagai satu penghormatan kepada kejayaan MKAK selama 25 tahun, dan sebagai titik permulaan kepada lebih banyak pencapaian di masa hadapan.
Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah ditubuhkan pada tahun 1997 dan mula beroperasi pada tahun 1999 sebagai sebahagian daripada usaha strategik kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) (1990-1995) untuk memperkukuhkan sistem kesihatan awam negara. Penubuhan ini timbul berikutan keperluan mendesak untuk menangani cabaran kesihatan seperti penyakit berjangkit dan keselamatan makanan. MKAK yang dilengkapi dengan kemudahan makmal moden untuk analisis dan diagnostik.
Selama 25 tahun, MKAK telah mencapai pelbagai kejayaan, termasuk menjadi makmal pertama di Malaysia yang mengenal pasti virus COVID-19 dan Monkeypox. MKAK juga berperanan penting dalam pengujian wabak Influenza A H1N1 dan COVID-19.
Turut hadir, YBhg Datuk Dr. Norhayati binti Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan YBrs. Dr. Nik Jasmin binti Nik Mahir, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan.
Kemaskini pada 2024-10-09 09:59:46 daripada UKK Norhanita