10 Oktober 2024- YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan telah memulakan jelajah borneo di Sabah pada hari kedua dengan merasmikan sambutan Hari Penglihatan Sedunia (World Sight Day) Peringkat Kebangsaan 2024 di International Technology Convention Centre (ITCC) Kota Kinabalu, Sabah.
Hari Penglihatan Sedunia yang disambut secara global setiap tahun pada hari Khamis minggu kedua bulan Oktober bertujuan untuk mengingatkan kita semua tentang pentingnya pencegahan masalah kebutaan dan kecacatan penglihatan. Sambutan ini selari dengan aspirasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui pelan tindakan global dalam mencegah kebutaan dan memperkukuh kesihatan mata.
Selaras dengan tema bagi sambutan pada tahun ini iaitu “Love Your Eyes: KIDS” , Perkhidmatan Pediatrik Oftalmologi juga telah diwujudkan di negeri Sabah yang beroperasi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas. HWKKS menawarkan pelbagai perkhidmatan saringan penglihatan dan rawatan bagi penyakit mata untuk kanak-kanak termasuk perkhidmatan rawatan bagi kecederaan dan trauma yang melibatkan mata.
Melalui program ini, pendedahan yang komprehensif tentang penjagaan mata dan khidmat konsultasi percuma daripada pakar oftalmologi dapat mengurangkan risiko kebutaan dan kecacatan penglihatan yang boleh dicegah. KKM melalui kerjasama strategik dengan pelbagai institusi kesihatan dan pendidikan akan memastikan rakyat Malaysia terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja menerima akses kepada penjagaan kesihatan mata yang berkualiti.
Turut hadir bersama ialah YBhg. Datuk Dr. Asits bin Sanna, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, YBrs. Dr. Mohd Aziz bin Husni, Ketua Kepakaran Oftalmologi, YBrs. Dr. William Gotulis, Pengarah Hospital Queen Elizabeth dan YBrs. Dr. Maria Suleiman, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah.
Kemaskini pada 2024-10-14 14:29:59 daripada UKK Norhanita