12 Oktober 2024- YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke fasiliti-fasiliti kesihatan di Sabah.
Antaranya:
i. Projek Naik Taraf Bangunan, Sistem Kejuruteraan dan Infra Klinik Kesihatan Inanam;
ii. Klinik Desa Kionsom; dan
iii. Projek Pembinaan Pusat Pakar Pergigian Sabah.
Lawatan pertama dimulakan dengan pemantauan terhadap Projek Naik Taraf Bangunan, Sistem Kejuruteraan dan Infra Klinik Kesihatan Inanam yang telah bermula pada April 2024 dan dijangka siap pada 31 Oktober 2024.
Seterusnya YBhg. Dato’ Sri KSU telah meninjau Klinik Desa Kionsom. Klinik ini merupakan satu blok bangunan dengan struktur kayu telah mula beroperasi pada tahun 1976 dan terletak 23.5 km dari pusat bandar Kota Kinabalu.
KKM merancang untuk menaik taraf Klinik Desa Kionsom kepada Klinik Kesihatan (Jenis 7) di bawah projek klinik daif tahun 2025 bagi menggantikan bangunan kayu berkenaan kepada klinik yang lebih kondusif serta perluasan skop perkhidmatan.
Lawatan YBhg Dato’ Sri KSU KKM diakhiri dengan pemantauan Projek Pembinaan Pusat Pakar Pergigian Sabah. Pembinaan fizikal projek ini telah siap sepenuhnya dan di peringkat akhir untuk penyerahan projek kepada KKM sebelum penghujung tahun ini. Projek ini dijangka bakal memberi manfaat kepada 4,111,700 penduduk negeri Sabah.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah YBhg. Datin Paduka Roslinah binti Md Jani, Setiausaha Bahagian Kanan (Pembangunan), YBrs. Dr. Noormi bt. Othman, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Pergigian) KKM, YBrs. Ts. Huszian bin Husin, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, KKM, YBhg. Datuk Dr. Asits bin Sanna, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, YBrs. Dr. Maria Suleiman, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Kesihatan Awam), Puan Jasnawati binti Jasmin, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Pengurusan), YBrs. Dr. Thaddius Herman Maling, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Pergigian), dan pegawai-pegawai Kanan KKM serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Kemaskini pada 2024-10-14 23:22:23 daripada UKK Norhanita