21 Oktober 2024- YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan lawatan ke MEASAT Teleport and Broadcast Centre di Cyberjaya.
Kedatangan YBhg. Dato’ Sri KSU disambut oleh YBrs. Encik Rezza Hassan, Pengarah MEASAT, YBrs. Encik Yau Chyong Lim, Ketua Pegawai Operasi MEASAT, YBrs. Encik Ganendra Selvaraj, Ketua Pegawai Komersil MEASAT, YBrs. Puan Tan Lian Kim, Penasihat Undang-Undang MEASAT, dan Pengurusan Tertinggi MEASAT.
MEASAT sebagai pengendali satelit utama Malaysia memainkan peranan penting dalam ketersambungan internet untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan kawasan pedalaman.
YBhg. Dato’ Sri KSU telah diberi penerangan tentang sejarah penubuhan, evolusi serta pelbagai perkhidmatan satelit yang berkemampuan untuk menyokong KKM dalam memastikan sistem kesihatan berkualiti tinggi, cekap dan inovatif melalui inisiatif pendigitalan negara.
Seterusnya, YBhg. Dato’ Sri KSU dibawa melihat kiosk perkhidmatan telekesihatan Sihat Xpress yang pertama diperkenalkan di Malaysia. Melalui inisiatif Sihat Xpress, penduduk kampung boleh menggunakan kiosk telekesihatan untuk memeriksa tahap oksigen, tekanan darah dan suhu badan. Selain itu, kiosk ini juga menyediakan khidmat rundingan dengan doktor secara dalam talian mengenai pelbagai isu perubatan bukan kecemasan seperti penyakit ringan dan pertanyaan kesihatan umum.
YBhg. Dato’ Sri KSU turut dibawa melawat satellite operation centre, network management centre dan antenna farm MEASAT.
Kemaskini pada 2024-10-22 09:09:41 daripada UKK Norhanita