16 November 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah merasmikan program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (Jelajah ANMS) dan Program Madani Afiat Peringkat Wilayah Sarawak 2024 di Dataran Perayaan, Petra Jaya, Kompleks Stadium Negeri, Kuching Sarawak.
Program Jelajah ANMS dan Madani Afiat bertujuan untuk mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, sejajar dengan objektif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merealisasikan reformasi kesihatan yang dinyatakan dalam Tonggak Kedua Kertas Putih Kesihatan 2023. Reformasi ini mengusulkan perubahan fokus daripada model ‘sick care’ (penjagaan orang yang sakit) kepada model ‘health care’ (penjagaan kesihatan) yang lebih menyeluruh dan proaktif.
‘Melalui program ini, KKM berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, dengan menumpukan kepada aspek pencegahan penyakit, kesihatan mental, serta gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Sarawak merupakan negeri keempat dan terakhir pelaksanaan program Jelajah ANMS dan Madani Afiat untuk tahun 2024 dan dilaksanakan bersekali di Peringkat Wilayah Sarawak. Pelbagai jenis aktiviti seperti saringan kesihatan, pameran agensi rakan strategik, jualan Rahmah serta pameran dan aktiviti berbentuk interaktif yang mempromosi kesihatan dan kesejahteraan kepada masyarakat setempat turut ditampilkan selari dengan pendekatan seluruh negara (whole-of-nation).
Turut hadir YB Datuk Micheal Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sarawak, YBhg Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia, YB Dato Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan, Setiausaha Persekutuan Sarawak, YBhg Datuk Dr. Norhayati binti Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan YBrs Dr. Veronica Lugah, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Kemaskini pada 2024-11-20 15:28:28 daripada UKK Norhanita