18 November 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan Transplan Sel Stem/Sumsum Tulang (SCT/BMT) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Ampang.
Majlis bertemakan “Sustainable and Equitable Care” memberi keutamaan kepada komitmen KKM untuk meneruskan perkhidmatan SCT/BMT yang mampan dan menjamin kesaksamaan dalam penjagaan kesihatan kepada rakyat bagi mendapatkan rawatan SCT/BMT di semua hospital KKM.
Perkhidmatan SCT/BMT untuk pesakit dewasa di KKM bermula pada tahun 1999 di Hospital Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Hospital Ampang pada tahun 2006.
Hospital Ampang telah dijadikan pusat rujukan utama dan pusat latihan utama bagi rawatan penyakit darah orang dewasa.
Sehingga Oktober 2024, 3,259 kes SCT/BMT telah dikendalikan oleh Hospital Ampang dengan purata hampir 200 kes SCT/BMT setiap tahun, berbanding hanya 6 kes pada tahun 1999.
Kini terdapat 4 buah hospital KKM yang mempunyai kepakaran dan menawarkan perkhidmatan SCT/BMT iaitu Hospital Ampang, Selangor, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor dan Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, Sabah.
Pada suku pertama 2025, Hospital Umum Sarawak di Kuching, Sarawak dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang juga akan turut memulakan perkhidmatan SCT/BMT.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan oleh YB Menteri Kesihatan kepada warga kerja Jabatan Hematologi, Hospital Ampang.
Turut hadir YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, YBrs. Dr. Ummi Kalthom binti Shamsudin, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor dan YBrs. Dr. Kasuadi Bin Hussin, Pengarah Hospital Ampang, YBrs. Dr. Lau Ngee Siang, Ketua Kepakaran Hematologi Negeri Selangor dan YBrs. Dr. Tan Sen Mui, Ketua Jabatan Hematologi Hospital Ampang, merangkap Timbalan Ketua Kepakaran Kebangsaan.
Kemaskini pada 2024-11-20 15:41:43 daripada UKK Norhanita