19 November 2024- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Jantung Negara (IJN) telah menandatangani Memorandum Persefahaman bagi Program Cardiovascular Prevention Continuous Medical Education (CME), di IJN.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan serta YBhg. Datuk Dr. Norhayati binti Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) mewakili KKM dan IJN diwakili oleh YBhg. Prof. Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani Md Taib, Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Dato’ Akmal Arief bin Mohamed Fauzi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Sdn Bhd sambil disaksikan oleh YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KKM dan YBhg. Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulah, Pengerusi IJN.
Memorandum Persefahaman ini merupakan kerjasama antara KKM dan IJN bagi menyediakan Program CME kepada anggota kesihatan di klinik kesihatan dan swasta.
Program ini adalah latihan berstruktur yang dirancang untuk memenuhi keperluan semasa dalam sistem penjagaan kesihatan primer, terutamanya dalam menangani peningkatan kes penyakit tidak berjangkit seperti dislipidemia, diabetes, hipertensi dan obesiti.
Kumpulan sasaran terdiri daripada pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, pengamal perubatan swasta, pegawai farmasi, jururawat, pegawai dietetik, dan pegawai fisioterapi.
Fasa 1 akan dimulakan dengan pelaksanaan modul-modul secara dalam talian dan diikuti dengan Fasa 2 yang merangkumi sesi pembentangan kes, perbincangan kes, forum perbincangan serta lawatan ke lapangan. Program ini juga berpotensi untuk dilanjutkan bagi memenuhi keperluan bidang penjagaan kesihatan.
Memorandum Persefahaman ini merupakan simbolik kepada satu kerjasama dan jalinan strategik antara KKM dan IJN dalam usaha mempertingkatkan kualiti penyampaian kesihatan untuk pesakit di fasiliti KKM khususnya dan seluruh rakyat Malaysia secara amnya.
Kemaskini pada 2024-11-20 15:51:40 daripada UKK Norhanita