20 November 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah mengadakan lawatan bagi meninjau projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung, Perak yang telah siap dibina.
Ketibaan YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah disambut mesra oleh warga Hospital Seri Manjung diikuti oleh ucapan aluan serta taklimat ringkas diberikan oleh YBrs. Dr. Nordin bin Nasir, Pengarah Hospital Seri Manjung.
Lawatan tersebut diteruskan dengan tinjauan YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ke Wad Ortopedik Lelaki dan Wanita dan seterusnya ke blok tambahan baharu yang menempatkan Klinik Pakar Perubatan, Pusat Rawatan Harian, Unit Endoskopi, Wad Psikiatri, Wad Multidisiplin, Bilik CME dan Kompleks Dewan Bedah.
Hospital Seri Manjung mula dibina pada tahun 1992 sehingga 1994 dan beroperasi pada Mac 1995 bagi menggantikan Hospital Lumut. Sehingga kini, Hospital Seri Manjung beroperasi dengan 13 kepakaran dan kelengkapan fasiliti seperti 305 jumlah katil, 11 wad, dan 8 klinik pakar.
Turut hadir, YBhg. Datin Paduka Roslinah binti Md Jani, Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan YBrs. Dr. Feisul Idzwan bin Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak.
Kemaskini pada 2024-11-22 11:38:21 daripada UKK Norhanita