21 November 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan bersama YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Hospital Seri Iskandar dan Projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung, di Perak.
Penyerahan tersebut dilaksanakan oleh YBrs. Puan Suzzana binti Punari, Pengarah Pasukan Projek Khas 1, Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku Pegawai Penguasa Projek Hospital Seri Iskandar dan YBrs. Ir. Hj Zamri bin Mat Kasim, Pengarah JKR Perak selaku Penguasa Projek Blok Tambahan Hospital Seri Manjung JKR Perak kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diwakili oleh YBhg. Datin Paduka Roslinah binti Md Jani, Setiausaha Bahagian Kanan (Pembangunan). Majlis tersebut diteruskan dengan lawatan YB Menteri Kesihatan dan YB Menteri Kerja Raya ke Unit Rawatan Rapi High Dependency (HDU).
Hospital Seri Iskandar mempunyai kapasiti 76 katil yang menyediakan perkhidmatan seperti Klinik Pakar, Kecemasan dan Trauma, Rehabilitasi, Wad Pesakit Dalam, Patologi, Radiologi, Dewan Bedah dan Farmasi.
Pembinaan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung menyediakan 48 katil tambahan, 4 dewan bedah baharu dan turut menempatkan Klinik Pakar, Wad Perubatan, Pusat Rawatan Harian, Dewan Bedah dan Wad Psikiatri menjadikan Hospital Seri Manjung kini mempunyai 353 bilangan katil dan 7 dewan bedah termasuk bangunan yang sedia ada.
Hospital Seri Iskandar dijadualkan akan mula beroperasi pada 11 Disember 2024, manakala Blok Tambahan Hospital Seri Manjung pada 13 Januari 2025.
Turut hadir, YB Tuan Haji Muhammad Ismi bin Mat Talib, Ahli Parlimen Parit, YB Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar bin Jamaludin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, YB Tuan Sivanesan a/l Achalingam, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Kesihatan Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya, dan YBhg. Datuk Dr. Nor Faiza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, dan YBrs. Dr. Feisul Idzwan bin Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak.
Kemaskini pada 2024-11-22 12:54:09 daripada UKK Norhanita