22 November 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah merasmikan Kongres Tahunan Persatuan Pakar Bedah Torasik dan Kardiovaskular Asia yang Ke-32 (ATCSA) di Kuala Lumpur.
Pada tahun 2022, sebanyak 95,266 kematian telah direkodkan di kalangan individu dewasa berusia antara 30 hingga 69 tahun, di bawah jangka hayat purata negara iaitu sekitar 75 tahun (kematian pramatang). Hampir satu perempat daripada kematian ini disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit (NCD). Kebarangkalian untuk meninggal dunia akibat NCD antara usia 30 hingga 70 tahun di Malaysia kekal tinggi iaitu 19.4% pada tahun 2021.
KKM komited untuk memajukan kepakaran pembedahan kardiotorasik ini dengan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan. Tugas melatih lebih ramai pakar bedah kardiotorasik kekal sebagai keutamaan utama untuk mencapai objektif Kementerian dalam membawa penjagaan pembedahan kardiotorasik lebih dekat kepada rakyat.
Pada masa yang sama, kementerian sedang memperkukuhkan semua program latihan kardiotorasik, yang juga termasuk program sarjana di universiti tempatan sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih luas.
Persatuan Pembedahan Torasik & Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) merupakan suatu organisasi profesional yang mewakili pandangan dan kepentingan semua pakar bedah kardiotorasik Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 1990-an, keahlian MATCVS merangkumi pakar bedah dalam amalan swasta, akademik (universiti), sektor awam (Kementerian Kesihatan) dan di Institut Jantung Negara (IJN).
Turut hadir YBhg Dato’ Dr Basheer Ahamed Abdul Kareem, President Persatuan Pakar Bedah Torasik dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) serta YBrs Assoc Prof Do Kim Que, President Persatuan Pakar Bedah Torasik dan Kardiovaskular Asia (ATCSA).
Kemaskini pada 2024-11-27 14:04:36 daripada UKK Norhanita