24 November 2024- Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Kongres Saintifik Tahunan (ASC) 2024 di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam di sini. Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan.
Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan beberapa anugerah khas, antaranya Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diberikan kepada tiga penerima, iaitu Datuk Dr. Aris Chandran Abdullah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raymond Azman Ali, dan Datuk Seri Azhari Rosman. Selain itu, Tan Sri Ridzwan Abu Bakar telah dipilih sebagai penerima Anugerah Orator Datuk Dr. Lim Kee Jin, sementara sembilan Presiden Kolej Perubatan Antarabangsa menerima Anugerah Felo Kehormat.
ASC 2024, yang dianjurkan melalui kerjasama antara Kolej Perubatan Malaysia dan Jabatan Perubatan HASA UiTM, telah mengumpulkan 300 peserta tempatan dan antarabangsa untuk program selama tiga hari, yang berakhir hari ini.
Turut hadir, YBhg Datuk Seri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), KKM, YBhg Prof. Datuk Seri Dr. Paras Doshi, Presiden Kolej Perubatan Malaysia dan YBhg Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib, Naib Canselor UiTM.
Kemaskini pada 2024-11-27 14:51:57 daripada UKK Norhanita