23 November 2024 - Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 pada hari kedua diteruskan dengan sesi forum bertajuk “Merakyatkan Perkhidmatan Awam” pada sebelah petang.
Sesi forum ini menyaksikan YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai salah seorang ahli panel bersama-sama YBhg. Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan dan YBhg. Tan Sri Arpah binti Abdul Razak, mantan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Moderator sesi berkenaan ialah Datuk Dr. Mohd Zabri bin Yusoff, Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Semasa sesi forum berlangsung, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad telah menekankan bahawa falsafah merakyatkan perkhidmatan awam merupakan asas utama transformasi di mana kerajaan berusaha menjiwai perkhidmatan kesihatan dengan mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat, memastikan akses yang adil dan meningkatkan keberkesanan penyampaian. Menurut beliau lagi, perkhidmatan awam bukan sekadar melaksanakan tanggungjawab tetapi memahami keperluan rakyat dan memenuhi jangkaan mereka.
YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad turut berkongsi tiga inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang cekap, selamat dan mesra rakyat. Antaranya ialah inisiatif Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu yang mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan dan menjimatkan masa pesakit.
Selain itu, Perkhidmatan Doktor Udara atau Flying Doctors Service oleh KKM memastikan penyampaian rawatan di kawasan terpencil di pedalaman dan pulau adalah sama seperti di kawasan bandar.
Perkhidmatan kesihatan secara digitalisasi pula mempermudah proses mendapatkan rawatan sekaligus menjadikan perkhidmatan kesihatan lebih pantas, selamat dan efisien.
Turut hadir YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, Ketua-ketua Setiausaha, Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan dan penjawat awam.
“MADANI di hati, rakyat disantuni”
Kemaskini pada 2024-11-27 14:57:51 daripada UKK Norhanita