26 November 2024- YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan menyempurnakan pelancaran Minggu Perubatan Kecemasan Pediatrik atau Paediatric Emergency Medicine (PEM) Week 2024 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.
Minggu Perubatan Kecemasan Pediatrik diadakan bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan keupayaan dalam menangani rawatan kecemasan kanak-kanak. Inisiatif ini bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan rawatan kecemasan pediatrik yang khusus. Penjaga kanak-kanak mungkin tidak menyedari bahawa sebarang kelewatan atau kesilapan dalam pengurusan kes kecemasan boleh mengakibatkan komplikasi serius, malah boleh membawa kepada kematian.
Salah satu faktor utama dalam memastikan keberkesanan sistem perubatan kecemasan pediatrik adalah adanya doktor yang terlatih khusus dalam bidang ini. Perubatan Kecemasan Pediatrik adalah suatu cabang perubatan yang penuh cabaran dan memerlukan kepakaran yang mendalam. Dengan adanya doktor yang berkelayakan membawa pelbagai manfaat, termasuklah pemberian rawatan yang lebih tepat dan selamat.
Doktor yang terlatih dalam Perubatan Kecemasan Pediatrik memiliki pemahaman mendalam mengenai keperluan fisiologi kanak-kanak yang berbeza, membolehkan mereka menentukan dos ubat yang tepat serta memilih rawatan yang paling sesuai dengan penuh ketelitian dan keselamatan. Inisiatif seperti ini juga menggalakkan kerjasama antara Hospital, Institusi Pendidikan, NGO, dan masyarakat untuk meningkatkan kesiapsiagaan sistem kesihatan dalam menangani kecemasan kanak-kanak secara holistik.
Turut hadir YBrs Dr. Shamsul Anuar bin Kamaruddin, Pengarah Hospital Tunku Azizah, YBrs Dr. Atika Azura Binti Abdul Rashed, Timbalan Pengarah (Perubatan) II, YBrs Dr Fatahul Laham, Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan YBrs Dr Yap Hsiao Ling, Ketua Jabatan Kecemasan Pediatrik, Hospital Tunku Azizah.
Kemaskini pada 2024-11-27 16:03:02 daripada UKK Norhanita