7 Disember 2024- YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan meneruskan lawatan kerja ke negeri Kelantan dengan melawat Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor dan Klinik Kesihatan Bunohan di Tumpat.
YB Menteri diiringi oleh YBhg. Datuk Dr. Norhayati binti Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), KKM dan YBhg. Dato’ Dr. Zaini bin Hussin, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan.
YBrs. Dr. Hasneezah binti Hassan, Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Tumpat bersama petugas kesihatan lain telah mengiringi YB Menteri Kesihatan meninjau keadaan semasa di kedua-dua Klinik Kesihatan (KK) yang telah memberhentikan operasi pada 29 November lalu akibat banjir.
Akibat daripada penutupan sementara Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor ini, perkhidmatan kesihatan klinik ini dipindahkan ke Klinik Kesihatan Geting. Kini, selepas pembersihan dan pemulihan kemudahan fasiliti, KK Pengkalan Kubor ini dijangka mula beroperasi semula pada 10 Disember nanti.
Manakala Klinik Kesihatan Bunohan yang diberhentikan operasi pada 29 November lalu telah memindahkan perkhidmatannya ke Klinik Kesihatan Wakaf Bharu. Klinik ini dijangka akan beroperasi semula pada 8 Disember kelak.
KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sentiasa bersedia dan komited untuk memberi sokongan dan membantu memulihkan kemudahan di fasiliti kesihatan yang terjejas akibat banjir.
YB Menteri juga meluangkan masa untuk menyantuni petugas kesihatan di kedua-dua Klinik Kesihatan ini. Kehadiran YB Menteri di kedua-dua fasiliti ini meningkatkan semangat petugas kesihatan untuk terus memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk sekitarnya.
Kemaskini pada 2024-12-16 21:58:29 daripada UKK Norhanita