7 Disember 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah meneruskan lawatan kerja beliau ke Bilik Gerakan Banjir, Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas, Kelantan.
YBrs. Dr. Ahmad Faris bin Awang, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) telah menyampaikan taklimat berhubung pengoperasian Bilik Gerakan Banjir dan situasi semasa fasiliti kesihatan yang terjejas dengan banjir negeri Kelantan.
Bilik Gerakan Banjir Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas merupakan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis yang bertanggungjawab menguruskan kejadian Krisis Kesihatan Awam dan bencana disamping memainkan peranan penting dalam memastikan kesiapsiagaan, tindak balas, dan pemulihan yang pantas dan berkesan.
Bilik Gerakan Banjir PKDPM mempunyai kekuatan 30 orang petugas dan kini telah diaktifkan sejak 24/11/2024 untuk menangani banjir Monsun Timur Laut 2024/2025. Jumlah PPS dan mangsa tertinggi direkodkan di Pasir Mas untuk monsun 2024 iaitu 70 PPS dibuka dengan 34,618 mangsa (11,475 keluarga).
Bilik Gerakan Banjir PKDPM menjalankan pemantauan dan pengesanan awal, melakukan kawalan dan respon awal, pengurusan risiko bersepadu serta mempunyai koordinasi yang baik.
YB Menteri Kesihatan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang bertugas membantu mangsa - mangsa banjir di negeri Kelantan.
Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Norhayati binti Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), KKM, YBhg. Dato’ Dr. Zaini bin Hussin, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, YBrs. Dr. Safiee bin Ismail, Pengarah (Perkembangan Kesihatan Keluarga), KKM dan Pegawai - pegawai kanan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.
Kemaskini pada 2024-12-16 22:07:25 daripada UKK Norhanita