9 Disember 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menerima kunjungan hormat daripada T.Y.T. Dr. Waleed Khalifa AlManea, Duta Kerajaan Bahrain ke Malaysia. Sesi kunjungan hormat ini bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama di antara Malaysia dan Bahrain, terutamanya dalam bidang kesihatan.
Antara topik yang dibincangkan adalah sistem kesihatan yang diamalkan di Bahrain yang boleh dijadikan model rujukan untuk meningkatkan lagi keberkesanan sistem kesihatan di Malaysia. Selain menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma kepada semua rakyat di hospital kerajaan, Bahrain juga telah berjaya mengembangkan perkhidmatan ini dengan menggunakan kemudahan-kemudahan di hospital swasta dan juga hospital di luar negara.
Turut disentuh berkenaan pendigitalan kesihatan, terutamanya pembangunan electronic medical records (EMR) serta sistem insuran kesihatan yang telah dilaksanakan di Bahrain. Duta Kerajaan Bahrain juga turut berkongsi kejayaan negara tersebut dalam menangani pandemik COVID-19 pada tahun 2020 melalui persediaan awal vaksin dan kit ujian serta saringan kesihatan yang menyeluruh.
Malaysia dan Bahrain telah bersetuju untuk mewujudkan memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam bidang kesihatan.
Kunjungan hormat pada hari ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kemaskini pada 2024-12-18 10:42:05 daripada UKK Norhanita