10 Disember 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah merasmikan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 yang diadakan serentak dengan Mesyuarat Tahunan Global Harmonization Working Party (GHWP) ke-28 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Acara berprestij anjuran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) ini menjadi platform penting untuk memajukan industri peranti perubatan global serta memastikan landskap kawal selia sejajar dengan visi Malaysia sebagai peneraju inovasi kesihatan serantau dan transformasi ekonomi.
IMDEC 2024 menghimpunkan lebih daripada 600 delegasi antarabangsa dan 10,000 pelawat dari pelbagai sektor industri penjagaan kesihatan, termasuk pengilang, pengawal selia, ahli akademik dan inovator. Bertemakan "Mengoptimumkan Kuasa Teknologi Perubatan, Membentuk Masa Depan Penjagaan Kesihatan", acara ini menyediakan peluang untuk dialog bermakna, perkongsian ilmu dan kerjasama dalam menangani cabaran kritikal serta menerokai kemajuan teknologi yang mentransformasi sistem penjagaan kesihatan.
Acara ini menandakan kerjasama penting antara MDA dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) bagi memperkukuh penguatkuasaan kawal selia, mempromosikan pematuhan, dan menyokong inovasi, memastikan ekosistem peranti perubatan yang selamat dan efisien.
IMDEC 2024 menjadi bukti komitmen Malaysia untuk memajukan inovasi penjagaan kesihatan, mengharmonikan peraturan kawal selia dan mendorong pertumbuhan ekonomi. Acara ini mengukuhkan dedikasi kerajaan dalam membina sistem penjagaan kesihatan yang inklusif, adil, dan maju secara teknologi, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat global.
Acara ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBrs. Dr. Xu Jinghe, Deputy Commisioner of China’s Products Administration (NMPA), Chairman of the Global Harmonization Working Party (GHWP) People’s Republic Of China, YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, YBrs. Dr. Muralitharan Paramasua, Ketua Eksekutif MDA merangkap pengerui IMDEC 2024 serta pegawai-pegawai kanan KKM.
Kemaskini pada 2024-12-18 10:54:30 daripada UKK Norhanita