12 Disember 2024- YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan telah merasmikan Kongres Asia Pacific Association of Allergy, Asthma and Clinical Immunology (APAAACI) 2024 di Kuala Lumpur.
Prevalens penyakit alahan dan imunologi semakin meningkat di seluruh dunia dan terus meningkat di Asia Pasifik termasuk Malaysia yang turut terkesan. Peningkatan prevalens ini dilihat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan ianya dikaitkan dengan perubahan gaya hidup, tabiat pemakanan dan perubahan iklim seiring dengan peningkatan beberapa penyakit tidak berjangkit (NCD).
Sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia sedang menghadapi cabaran berhubung kesihatan rakyat akibat krisis iklim. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan iklim dijangka menyebabkan sekitar 250,000 kematian tambahan setiap tahun antara 2030 dan 2050 akibat kebuluran, malaria, cirit-birit dan strok haba sahaja.
Melalui penambahan bilangan ahli imunologi, Malaysia dapat menangani peningkatan kes penyakit berkaitan sistem imun dan memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik. Selain itu, lebih ramai ahli imunologi dapat membantu dalam penyelidikan dan merapatkan jurang antara penemuan saintifik dan aplikasi dalam rawatan pesakit.
Komitmen APAAACI dalam mendidik, menjalankan penyelidikan dan menggalakkan kelestarian dalam polisi penjagaan kesihatan serta alam sekitar terus memacu perubahan di rantau Asia-Pasifik.
Turut hadir YBrs Prof Jiu Yao Wang, Pengerusi Kongres dan YBrs Prof Ruby Pawankar, Pengerusi Kongres Sedunia (WHO).
Kemaskini pada 2024-12-18 11:31:04 daripada UKK Norhanita