15 Disember 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah meneruskan lawatan kerja beliau ke Klinik Kesihatan UTC Pahang.
Lawatan kerja ini diadakan bagi meninjau pengoperasian harian serta melihat keadaan fasiliti dan infrastruktur klinik ini secara amnya.
Sejurus ketibaan YB Menteri Kesihatan, satu taklimat ringkas berhubung perkhidmatan kesihatan dan ringkasan pencapaian klinik telah disampaikan oleh YBrs. Dr Mohd Hafeez bin Intiaz Hussein, Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan bersama YBrs. Dr Sharina binti Dolah, Pegawai Pergigian Daerah Kuantan.
YB Menteri Kesihatan kemudiannya menandatangani buku pelawat dan dibawa melawat ke bilik pemeriksaan kesihatan dan juga klinik pergigian. YB Menteri Kesihatan juga turut beramah mesra bersama petugas-petugas kesihatan.
Klinik Kesihatan (KK) UTC Pahang merupakan KK Jenis 7 yang mula beroperasi sejak 11 April 2013. Klinik ini telah dinaiktaraf kepada klinik kesihatan pada 14 April 2017 yang dapat memberikan manfaat kepada kira-kira 242,413 orang populasi penduduk di sekitarnya.
Klinik Kesihatan UTC Pahang telah menerima kedatangan pesakit seramai 15,505 orang bagi tahun 2023 dengan purata kedatangan harian seramai 40-45 orang pesakit sehari.
Turut mengiringi YB Menteri Kesihatan adalah YBhg. Dato’ Indera Dr. Nor Azimi binti Yunus, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Norhayati binti Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBhg Datuk Dr. Rusdi bin Abd Rahman, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Encik Mohd Rashidi bin Yahaya, Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan (Bahagian Pembangunan) KKM dan pegawai-pegawai Kanan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.
Kemaskini pada 2024-12-18 12:27:09 daripada UKK Norhanita