19 Disember 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menghadiri Majlis Penyerahan Pusat Keselamatan Makanan Negara atau National Centre for Food Safety (NCFS) di Sepang, Selangor.
NCFS adalah cabang saintifik dalam Program Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM yang bertujuan menghasilkan data saintifik untuk digunakan dalam pembangunan dasar, pengurusan risiko, penetapan standard makanan, dan penggubalan perundangan berkaitan makanan.
Langkah ini akan menguatkan kawalan keselamatan makanan negara. Dengan peningkatan sistem kawalan keselamatan dan kualiti makanan yang berasaskan sains, keyakinan orang ramai terhadap keselamatan makanan di pasaran akan bertambah. Selain itu, ia akan memudahkan perdagangan makanan, meningkatkan ekonomi negara, dan memartabatkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
KKM merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak secara langsung dalam memberikan bantuan, komitmen dan kerjasama erat sepanjang pelaksanaan projek ini.
Kerjasama yang erat dari peringkat perancangan hingga penyelesaian projek ini menunjukkan bahawa semua pihak mampu mencapai kejayaan yang cemerlang apabila bekerja sebagai satu pasukan. Pencapaian ini menjadi dorongan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat makanan yang selamat, berkualiti, dan mematuhi standard yang ditetapkan.
Turut hadir YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato' Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Kerja Raya dan Dato’ Sri Norazman bin Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kemaskini pada 2024-12-23 10:14:44 daripada UKK Norhanita