19 Disember 2024- YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri kesihatan telah menerima kunjungan hormat daripada Encik Amol Shah, Pengarah Urusan MJ Group serta Encik Ashish Vora, Pengasas dan Pengerusi Prime Pharmaceutical di Ibu Pejabat KKM.
Kedua-dua syarikat farmaseutikal berkenaan merupakan syarikat- syarikat terkemuka yang beroperasi di India.
KKM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi meningkatkan kapasiti, keterjaminan dan kemandirian dalam aspek ubat-ubatan.
Malaysia juga amat terbuka untuk menjadi tuan rumah dan menerima pelaburan daripada pemain yang ingin menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi strategik mereka di rantau ini. Mereka juga amat dialu-alukan untuk mendaftar produk-produk mereka dengan badan kawal selia tempatan.
YB Menteri Kesihatan sangat mengalu-alukan kerjasama strategik syarikat Malaysia dengan MJ Group dan Prime Pharmaceutical, yang dipercayai akan membawa natijah besar kepada sektor kesihatan negara.
Malaysia akan terus meningkatkan kepelbagaian sumber ubat-ubatan demi kemampanan dan keterjaminan ubat-ubatan negara, selari dengan ketetapan dasar yang diolah oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di Parlimen baru-baru ini.
KKM akan menghantar misi ke negara-negara seperti India, China dan Korea, dengan penekanan khusus kepada ubat-ubatan yang kritikal kepada rakyat dan keperluan strategik negara.
Kemaskini pada 2024-12-23 10:19:39 daripada UKK Norhanita