3 Januari 2025- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menyampaikan amanat beliau di Majlis Amanat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2025 yang telah berlangsung di Ibu Pejabat KKM, Putrajaya.
YB Menteri Kesihatan juga berkesempatan untuk merakamkan penghargaan beliau kepada seluruh warga kerja KKM di atas kerjasama penuh yang diberikan dan berharap sokongan dan perpaduan yang berterusan dari semua pihak dalam usaha memperkasakan ekosistem penjagaan kesihatan negara.
Beliau telah menyatakan bahawa pelbagai dasar telah dilancarkan pada tahun 2024 dan ia merangkumi seluruh aspek kehidupan rakyat dari rahim ke liang lahad atau ‘from womb to tomb’. Antaranya, Pengukuhan 1,000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-kanak Malaysia, Pelan Strategik Mengurangkan Gula 2024-2030 dan Kempen Perangi Gula atau War on Sugar, Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan (DLKK) dan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030.
Di samping itu, YB Menteri Kesihatan juga turut menyatakan sasaran-sasaran strategik KKM bagi tahun 2025 di mana ia bukan sahaja bakal memenuhi aspirasi semasa, malah turut bertujuan sebagai kalis zaman (futureproof).
Turut hadir, YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan (secara dalam talian), YBhg. Dato' Sri Suriani binti Dato' Ahmad, Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Dr Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan KKM, YBhg. Dato' Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, YBhg. Dato’ Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua-Ketua Bahagian dan warga kerja KKM.
Kemaskini pada 2025-01-06 09:25:06 daripada UKK Norhanita