14 Januari 2025- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah merasmikan Simposium Shariacare: Merintis Kesihatan dengan Nilai-Nilai Syariah di Hotel Tenera, Bangi. Simposium ini dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan KMI Healthcare sebagai kesinambungan projek penyelidikan bertajuk “Shariah-Compliant Islamic Medical Service Standard Framework for Health Providers in Malaysia”, yang dimulakan sejak tahun 2022.
Dengan tema “Merintis Kesihatan dengan Nilai-Nilai Syariah”, simposium ini menjadi platform penting untuk menghubungkaitkan prinsip Rahmatan Lil ’Alamin dan Maqasid Syariah dalam penjagaan kesihatan. YB Menteri Kesihatan dalam ucapan beliau telah menekankan bahawa tanggungjawab beliau sebagai pemimpin merangkumi lima aspek utama Maqasid Syariah: Hifz ad-Din (Memelihara Agama) melalui penjagaan sensitiviti agama pesakit seperti hospital mesra ibadah, Hifz an-Nafs (Memelihara Nyawa) dengan kempen kesihatan seperti ‘War on Sugar’ dan kesiapsiagaan menghadapi pandemik, Hifz al-Aql (Memelihara Akal) melalui pendidikan kesihatan mental dan sokongan kaunseling, Hifz al-Nasl (Memelihara Keturunan) dengan memperkuat penjagaan kesihatan untuk 1,000 hari pertama kehidupan kanak-kanak, dan Hifz al-Mal (Memelihara Harta) dengan usaha mencegah penyakit tidak berjangkit bagi mengurangkan beban kos kepada rakyat dan negara.
Simposium ini turut menghimpunkan pakar-pakar dari pelbagai bidang untuk merangka strategi menyeluruh dalam mempromosikan penjagaan kesihatan yang patuh syariah.
Turut hadir YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi IKIM; YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM; YBrs. Dr. Rayney Azmi bin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd; dan YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, Naib Canselor Universiti Teknologi PETRONAS.
#Shariacare #KesihatanPatuhSyariah
Kemaskini pada 2025-01-15 12:03:58 daripada UKK Norhanita