15 Januari 2025- YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan telah memulakan lawatan rasmi beliau ke fasiliti kesihatan negeri Selangor dengan melawat lokasi pertama iaitu Hospital Shah Alam.
Ketibaan YB Timbalan Menteri Kesihatan disambut oleh YBrs. Dr Ummi Kalthom binti Shamsudin, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor bersama YBrs. Dr. Ruzita binti Othman, Pengarah Hospital Shah Alam. Sejurus selepas ketibaan, YB Timbalan Menteri Kesihatan telah diberikan taklimat ringkas berkenaan pengoperasian hospital.
Hospital Shah Alam mula beroperasi sepenuhnya pada 11 Januari 2016 dan merupakan sebuah hospital berpakar major. Hospital ini dilengkapi dengan 490 buah katil meliputi 15 buah wad.
Hospital ini menawarkan perkhidmatan kesihatan meliputi 15 buah jabatan iaitu Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Perubatan Am, Jabatan Pembedahan Am, Jabatan Ortopedik, Jabatan Obstretik dan Ginekologi, Jabatan Pediatrik, Jabatan Radiologi, Jabatan Psikiatrik, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Kritikal, Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, Jabatan Pergigian Pediatrik, Jabatan Rehabilitasi, Jabatan Otorinolaringologi, Jabatan Oftalmologi, Jabatan Patologi dengan 4 sub kepakaran iaitu Medikal Retina dan Uveitis, Endokrinologi, Nefrologi dan Uroginekologi.
Dalam pada itu, hospital ini juga menjalankan latihan dalam perkhidmatan yang turut meliputi latihan kepada hospital kluster iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Hospital Kapar dan Hospital Banting.
YB Timbalan Menteri juga turut meninjau pengoperasian di hospital ini dengan melawat Jabatan Kecemasan dan Trauma, wad pemerhatian, dan Jabatan Radiologi disamping turut meluangkan masa untuk menyantuni pesakit dan petugas kesihatan di hospital ini.
Turut hadir bersama dalam sesi lawatan ialah YBhg Dato’ Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg Dato’ Dr. Mohd Azman bin Yacob, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, KKM dan pegawai - pegawai kanan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Kemaskini pada 2025-01-16 10:09:54 daripada UKK Norhanita