16 Januari 2025- YB Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan meneruskan lawatan rasmi beliau ke fasiliti kesihatan negeri Selangor pada hari kedua ke lokasi pertamanya iaitu ke Klinik Kesihatan Serendah, Daerah Hulu Selangor.
Ketibaan YB Timbalan Menteri Kesihatan disambut oleh YBrs. Dr. Ummi Kalthom binti Shamsudin, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor bersama YBrs. Dr. Suhaida binti Mohd Sidek, Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor.
Sejurus ketibaan, YB Timbalan Menteri Kesihatan melawat Klinik Pergigian Serendah dan diberikan taklimat ringkas berkenaan pengoperasian klinik. YB Timbalan Menteri meneruskan tinjauan ke fasiliti kesihatan lain di sekitar Klinik Kesihatan Serendah diiringi YBrs. Dr. Vengketeswara Rao a/l Seetharaman, Pakar Perubatan Keluarga KK Serendah.
Fasiliti Klinik Kesihatan Serendah yang mula beroperasi pada tahun 2002 menerima purata kehadiran 800 orang pesakit sehari.
Klinik ini menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan utama termasuk perkhidmatan pesakit luar, rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD), penyakit berjangkit (CDC), kesihatan pra hamil (PPC), kesihatan ibu hamil (MCH), kesihatan ibu selepas bersalin, kesihatan kanak-kanak, perancang keluarga, pengimejan X-ray, makmal, farmasi, rawatan kecemasan, fisioterapi, terapi cara kerja, perkhidmatan dietitian, kaunselor, serta pelbagai perkhidmatan lain.
Selain itu, klinik ini turut menyediakan perkhidmatan khusus seperti Klinik Gantian Methadone, Klinik HIV/Hepatitis C, Klinik Tibi, Klinik Luka, Klinik Minda Sihat, Klinik Remaja, Klinik Warga Emas, Klinik Berhenti Merokok, Rawatan Domisilari, Klinik Virtual, dan MTAC (Medication Therapy Adherence Clinic).
YB Timbalan Menteri turut meluangkan masa untuk menyantuni pesakit dan petugas kesihatan di klinik ini.
Turut hadir Pegawai-Pegawai Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Kemaskini pada 2025-01-17 10:54:53 daripada UKK Norhanita