13 Februari 2025- Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor berkenan mencemar duli bagi merasmikan Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak dan penjenamaan semula Hospital Kajang kepada Hospital Hospital Tengku Permaisuri Norashikin.
Pembinaan Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak, Hospital Tengku Permaisuri Norashikin di atas tanah seluas 5.43 ekar ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia ke-11. Pusat rawatan ini yang terletak 800 meter dari bangunan utama Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, dan dibina bagi mengurangkan kesesakan pesakit di bangunan lama serta mengambil kira prasarana yang berusia di fasiliti tersebut.
Perkhidmatan yang disediakan di Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak yang baharu ini merangkumi perkhidmatan kepakaran seperti Perubatan Kecemasan, Obstetrik & Ginekologi, Pediatrik, Pergigian Pediatrik, Pediatrik Ortopedik, Anestesiologi dan Rawatan Kritikal, Radiologi, Patologi dan Rehabilitasi. Selain itu, pusat rawatan ini juga akan menerima lawatan pakar daripada hospital lain sekitar Lembah Klang yang meliputi bidang Otorinolaringologi, Forensik, serta Psikiatri Remaja dan Kanak-Kanak bagi membolehkannya menawarkan perkhidmatan yang menyeluruh kepada rakyat.
Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak ini mempunyai kapasiti 272 buah katil, menjadikan jumlah keseluruhan katil bagi Hospital Tengku Permaisuri Norashikin sebanyak 658 buah katil. Pusat rawatan ini juga dilengkapi dengan kemudahan seperti mesin pengimejan CT Scan, 14 bilik Dewan Bersalin, 6 bilik Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), kemudahan ‘rooming-in’ bagi ibu yang baru bersalin, Klinik-Klinik Pakar, Farmasi, Taman Terapeutik Rehabilitasi, serta Pusat Rawatan Harian (Daycare). Selain itu, pusat ini juga dilengkapi dengan dua (2) bilik kedap bunyi untuk saringan pendengaran bayi yang baru lahir.
Selaras dengan inisiatif pendigitalan sektor kesihatan negara, pusat rawatan ini menggunakan Sistem Pengurusan Pesakit (SPP) seperti sedia ada di bangunan utama hospital, namun turut dilengkapi dengan versi terkini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (A.I.). Pendekatan pintar ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi hospital dan pemantauan rawatan yang lebih sistematik, malah turut memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih pantas, tepat dan mesra pengguna.
Turut hadir YAB Dato' Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, YB Dato' Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, SUK Negeri Selangor, YBhg Dato' Sri Suriani binti Dato' Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg Datuk Dr Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan dan YBrs Dr. Ummi Kalthom binti Shamsudin, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Kemaskini pada 2025-02-17 12:50:48 daripada UKK Norhanita