23 Februari 2025- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menyempurnakan perasmian Kajian The First 1,000 Days Of Life: Langkawi Longitudinal Study (LLS) 2025-2028 bagi memahami faktor yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dalam 1,000 hari pertama kehidupan dan Pendigitalan Menggunakan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) di fasiliti kesihatan di Langkawi untuk memacu transformasi digital bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Kajian LLS ini merupakan kajian kohot kelahiran (birth cohort) yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi dan Hospital Sultanah Maliha Langkawi, Kedah untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pertumbuhan kanak-kanak dalam 1000 hari pertama kehidupan iaitu dari tempoh awal kehamilan sehingga mereka berusia dua tahun.
Kajian ini yang bermula pada Mac 2025 akan melibatkan Ibu hamil dalam trimester pertama kehamilan (kurang atau sama dengan 12 minggu kehamilan) yang mendapatkan penjagaan antenatal di klinik kesihatan kerajaan di Langkawi, Kedah dan bayi yang dilahirkan oleh mereka melalui 11 sesi pengumpulan data; iaitu tiga (3) semasa tempoh kehamilan, satu (1) semasa kelahiran dan tujuh (7) selepas kelahiran sehingga berusia dua (2) tahun.
Hasil LLS ini akan membantu kerajaan untuk membuat intervensi terbaik untuk mengatasi isu bantut. KKM juga
memperkukuh program 1,000 Hari Pertama Kehidupan, yang menekankan kepentingan pemakanan atau nutrisi ibu hamil dan bayi, serta dalam kalangan kanak-kanak.
Bagi pelaksanaan pendigitalan menggunakan CCMS di fasiliti kesihatan di Langkawi akan disokong oleh penggunaan Cloud-based Clinic Management System (atau CCMS); yang meningkatkan kecekapan pengurusan rekod pesakit secara digital, mengurangkan kebergantungan kepada dokumentasi manual, dan mempercepat akses kepada maklumat kesihatan.
Sebanyak 13 fasiliti kesihatan di Langkawi, termasuk 6 Klinik Kesihatan (KK) dan 7 Klinik Desa (KD), telah dilengkapi dengan sistem ini bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
Turut hadir YBhg Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KKM, YBhg Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg Datuk Dr. Norhayati binti Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBhg Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal), YBrs Dr. Fauziah binti Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Pergigian) dan YBrs Puan Norhaliza binti A.Halim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi).
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Kemaskini pada 2025-03-10 09:27:06 daripada UKK Norhanita