26 Februari 2025- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah melancarkan sambutan Hari Kanser Sedunia 2025 di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur yang bertemakan ‘United by Unique’ atau ‘Penyatuan Dalam Keunikan’, sambutan tahun ini menekankan bahawa kanser bukan sekadar diagnosis perubatan tetapi pengalaman unik yang dihadapi setiap pesakit. Oleh itu, pendekatan berpusatkan pesakit (person-centred care) menjadi keutamaan dalam meningkatkan kualiti hidup sepanjang rawatan dan pemulihan.
Dalam usaha memperkukuh usaha pencegahan dan rawatan, dua (2) Memorandum Persefahaman (MoU) penting telah dimeterai, dengan kerjasama melibatkan 22 rakan strategik yang mencerminkan semangat ‘Penyatuan Dalam Keunikan’ serta pendekatan seluruh negara (atau ‘whole-of-nation approach’) dalam menangani cabaran kesihatan. Dua memorandum tersebut ialah:
● MoU Lung Health Initiative Malaysia, yang melibatkan 8 rakan strategik dalam usaha pencegahan, saringan, rawatan, dan pemulihan kanser paru-paru; dan
● MoU Perkhidmatan Berhenti Merokok (mQuit Services Fasa 4) yang melibatkan penyertaan 14 rakan kongsi bagi memperkukuh program berhenti merokok, langkah utama dalam pencegahan kanser paru-paru.
Menurut Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR), sebanyak 248,207 kes kanser telah dilaporkan dari 2017 hingga 2023. Jabatan Perangkaan Malaysia 2024 turut melaporkan bahawa kanser menjadi punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia, meningkat daripada 12.6% pada 2022 kepada 13.8% pada 2023. Lima jenis kanser utama di Malaysia ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, dan hati.
Sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN 2026 (AHMM 2026), Malaysia komited dalam memperkukuh kawalan kanser dan kesihatan paru-paru di rantau ini.
Hadir sama, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Dato’ Dr. Saunthari Somasundaram, Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), YBrs. Prof. Madya Dr. Murallitharan Munisamy, Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan YBrs. Ts. Norrani binti Ehsan, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan).
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Kemaskini pada 2025-03-10 11:51:01 daripada UKK Norhanita