5 Mac 2025- YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan telah menyempurnakan peluncuran aplikasi mudah alih HSISCare dengan tema “Seamless, Fast, Efficient – HSISCare Self Check-In” di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor (HSIS).
HSISCare merupakan inisiatif inovatif yang bertujuan mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan melalui sistem daftar kendiri (self-check-in). Aplikasi ini membolehkan pesakit menguruskan temujanji, melakukan daftar kendiri, serta mengakses maklumat kesihatan peribadi dengan lebih mudah dan pantas. Dengan ciri pendaftaran dalam talian dalam radius 500-meter dari hospital, pesakit kini boleh terus ke klinik tanpa perlu beratur di kaunter pendaftaran, sekali gus mempercepatkan proses rawatan dan mengurangkan kesesakan di hospital.
Aplikasi HSISCare merupakan satu inisiatif penting hospital dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan dan memastikan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat terus diperkasa. Penggunaan teknologi terkini adalah menepati trend perkembangan semasa dan selari dengan Strategi 1, Pelan Strategik Pendigitalan KKM 2021-2025 iaitu ‘Pengukuhan Perkhidmatan Digital Kesihatan Menyeluruh dan Bersepadu’ dan juga hala tuju pendigitalan nasional.
Penggunaan HSISCare ini dirancang melalui tiga (3) fasa bermula dengan Fasa I melibatkan Pesakit Tanpa Bayaran / Percuma (OKU dan warga emas); Fasa II melibatkan Pesakit GL (HRMIS); dan Fasa III melibatkan Pesakit Berbayar (pembayaran dalam talian melalui iPayment).
Penggunaan teknologi digital dalam HSISCare akan mempercepatkan rawatan, meningkatkan kecekapan operasi hospital, dan memperbaiki pengalaman pesakit, serta memupuk kepercayaan pengguna terhadap sistem penyampaian kerajaan.
Turut hadir, YBhg Datuk Dr Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal), YBrs Dr. Ummi Kalthom binti Shamsudin, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor dan YBrs. Dr. Farique Rizal bin Abdul Hamid, Pengarah, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
![]() |
![]() |
![]() |
Kemaskini pada 2025-03-10 15:56:39 daripada UKK Norhanita