10 April 2025- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan hadir ke Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ramah Mesra bersama Warga Kerja Kesihatan Daerah Batang Padang, Tapah, Perak.
YB Menteri telah meluangkan masa beramah mesra dengan barisan petugas kesihatan yang saban hari mencurah tenaga di hospital dan fasiliti kesihatan di seluruh daerah ini.
Beliau menyampaikan penghargaan tinggi kepada para petugas, khususnya di Hospital Tapah, yang bukan sekadar menjadi penyampai rawatan, tetapi juga lambang ketekunan, semangat dan integriti anggota kesihatan negara.
Dalam ucapannya, YB Menteri menekankan bahawa sistem kesihatan yang kukuh bukan sahaja penting untuk memperkasa perkhidmatan awam, tetapi juga menjadi komponen utama dalam menjamin ketahanan nasional, keselamatan rakyat dan daya saing negara di peringkat global. Kejayaan sistem kesihatan negara amat bergantung kepada keberkesanan pengurusan fasiliti dan kecekapan pelaksanaan di lapangan.
KKM kini sedang melaksanakan Pelan Transformasi Kesihatan menerusi inisiatif Kertas Putih Kesihatan yang memberi penekanan memperluas akses perkhidmatan kesihatan asas kepada semua rakyat, terutamanya golongan rentan dan terpinggir.
KKM komited untuk mempercepatkan transformasi digital dan pemerkasaan teknologi kesihatan demi meningkatkan kecekapan perkhidmatan. Pembaharuan dalam aspek pembiayaan kesihatan juga sedang digiatkan, agar tiada rakyat yang terbeban dengan kos rawatan dan semua mampu menerima penjagaan kesihatan yang sepatutnya.
YB Menteri turut mengadakan sesi perjumpaan khas bersama Pengarah Kesihatan Negeri Perak Darul Ridzuan, Pengarah Hospital Tapah, Pegawai Kesihatan Daerah Batang Padang dan Pegawai Kesihatan Pergigian Daerah Batang Padang. Dalam sesi libat urus tersebut, pembentangan telah diadakan bagi memberi gambaran menyeluruh situasi semasa di fasiliti termasuklah cabaran harian serta keperluan mendesak yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak kementerian.
Turut hadir, YBhg. Dr. Nor Hayati binti Ibrahim, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perkembangan Perubatan, YB Tuan Sivanesan A/L Achalingam, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak Darul Ridzuan dan YBrs. Dr. Feisul Idzwan bin Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Kemaskini pada 2025-04-11 10:13:24 daripada UKK Norhanita














