24 Januari 2026- YAB Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri telah merasmikan bangunan baharu Hospital Seberang Jaya (HSJ). Perasmian ini merupakan pencapaian penting Kerajaan MADANI dalam usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara, khususnya bagi penduduk Seberang Perai dan Pulau Pinang.
Pembinaan Bangunan Multistorey Hospital Seberang Jaya ini merupakan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), Rolling Plan 2, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM371 juta. Projek ini melibatkan keluasan tanah 3.26 ekar,keluasan binaan 45,415 meter persegi serta merangkumi bangunan setinggi 9 tingkat.
Pembinaan projek yang bermula pada 16 Mei 2016 telah siap sepenuhnya pada 12 April 2025 dan mula beroperasi secara berperingkat pada 5 Mei 2025 yang lalu.
Kapasiti keseluruhan katil HSJ telah meningkat daripada 413 buah katil kepada 729 buah katil dan ia memperkukuh keupayaan hospital dalam memenuhi keperluan rawatan yang semakin meningkat.
Hospital Seberang Jaya juga berperanan sebagai pusat rawatan, latihan dan rujukan termasuk latihan kepada Pegawai Perubatan Siswazah, pelajar perubatan, pergigian, paramedik serta latihan subkepakaran.
YAB Perdana Menteri turut meluangkan masa menziarahi pesakit di wad surgikal lelaki.
Majlis ini turut dihadiri oleh YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, YB Tuan Steven Sim, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kesihatan, YBhg Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, YBhg Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KKM dan YBhg. Dato’ Dr. Fazilah binti Shaikh Allaudin.
#KKMPrihatin #SihatBersama #MalaysiaSihat #MADANIBekerja #RancakkanMADANI
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
|
Kemaskini pada 2026-01-26 10:30:09 daripada UKK Norhanita
















