YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyerahan Resolusi Simposium Asatizah Hospital di Bangi, Selangor.
Simposium Asatizah Hospital 2026 yang julung kali dianjurkan di peringkat nasional menghimpunkan asatizah hospital, petugas kesihatan, penyelidik serta pakar rujuk dari pelbagai institusi kesihatan awam dan swasta, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh peranan sokongan kerohanian dalam sistem penjagaan kesihatan negara.
Simposium bertemakan “Mengoptimum Potensi, Mempertingkat Kualiti” ini merupakan platform pembentangan dan penyerahan Resolusi Simposium Asatizah Hospital, yang mencerminkan suara kolektif para pengamal lapangan dalam usaha memperkasa pengiktirafan, skop kerja dan hala tuju kerjaya asatizah hospital di Malaysia.
Peranan asatizah hospital bukan sekadar sebagai pembimbing ibadah, malah sebagai rakan strategik yang menyumbang kepada kesejahteraan pesakit, keluarga serta warga kerja kesihatan. Simposium ini turut menyaksikan pelancaran buku ‘Kompilasi Tanyalah Asatizah An-Nur’ yang menghimpunkan panduan dan rujukan berkaitan isu ibadah, etika dan kerohanian dalam konteks hospital.
Turut hadir YBhg. Tuan Haji Mohd Husni bin Abd Shukor, Ketua Pegawai Eksekutif, Annur Integrated Healthcare Group dan YBhg. Prof. Dr. Abdul Rashid bin Abdul Rahman, Ahli Majlis Penasihat Syariah dan Pakar Perubatan Dalaman, Hospital Pakar An-Nur.
#KKMPrihatin #SihatBersama #MalaysiaSihat #MADANIBekerja #RancakkanMADANI
![]() |
![]() |
|
Kemaskini pada 2026-01-28 11:18:24 daripada UKK Norhanita












