7 September 2022- YB Dato' Dr Haji Noor Azmi Bin Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan I merasmikan kempen Mencegah Influenza pada Usia Menjangkau 65 tahun dengan tema “Pencegahan Influenza, akan Ku Laksanakan” anjuran Immunise4Life (IFL).
Dalam ucapannya, Dato’ Dr Haji Noor Azmi menekankan kepentingan mengamalkan pemakanan yang sihat, melakukan aktiviti fizikal secara kerap, mendapatkan rehat dan tidur yang cukup, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, mempelajari kemahiran-kemahiran baharu dan bergaul dengan orang tersayang serta rakan-rakan.
Selain itu, beliau turut menggesa warga emas untuk mencegah influenza dengan mendapatkan vaksin terhadap penyakit tersebut setiap tahun. Memetik kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beliau berkata bahawa vaksinasi influenza adalah salah satu cara terbaik untuk mengurangkan risiko penyakit teruk, kemasukan ke hospital dan kematian.
Turut hadir pada majlis tersebut, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal IFL memaklumkan bahawa bagi warga emas, vaksinasi influenza tahunan terbukti dapat mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian berkaitan influenza sebanyak lebih 40%.
Suntikan tahunan juga memberi manfaat kepada mereka yang menghidap diabetes dengan mengurangkan risiko strok (sebanyak 30%), kegagalan jantung (22%) dan serangan jantung (19%).
Bagi pesakit jantung, vaksinasi influenza mengurangkan kemungkinan peristiwa kardiovaskular utama (sebanyak 36%). Kemungkinan mengalami kematian berkurang sebanyak 18% dalam kalangan orang yang mengalami kegagalan jantung. Individu yang baru sahaja mengalami sindrom koronari akut dapat mengurangkan risiko kesan buruk sebanyak 45%.
Pelancaran program ini akan diikuti dengan beberapa siri aktiviti pendidikan bertepatan dengan Hari Jantung Sedunia, Hari Warga Emas Antarabangsa dan Hari Diabetes Sedunia.
Kemaskini pada 2022-09-08 22:49:12 daripada