Perkara : MAKLUM BALAS
Tajuk : PARKING BERBAYAR DI HRPZ II
Akhbar : KOSMO
Tarikh Siaran : 23 MEI 2012
Kategori : ADUAN SMS
Dikeluarkan Oleh : DATO’ DR. HAJI GHAZALI HASNI BIN HAJI MD. HASSAN
PENGARAH
HOSPITAL RAJA PEREMPUAN ZAINAB II,
KOTA BHARU
Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) terlebih dahulu merujuk kepada aduan PESAKIT MARAH di dalam ruangan ini mengenai parkir bermeter di dalam kawasan hospital. Ingin kami jelaskan bahawa kawasan parkir yang sedia ada di sepanjang jalan HRPZ II adalah dibawah pentadbiran MPKB-BRI dan HRPZ II hanya diberi beberapa lot parkir sahaja yang dikhususkan kepada Pegawai Perubatan On-call.
Parkir bermeter ini diwujudkan adalah atas inisiatif MPKB-BRI setelah melalui beberapa siri perbincangan dengan HRPZ II dan agensi penguatkuasa yang lain bagi mengatasi kesesakan lalulintas yang teruk di dalam kawasan HRPZ II ekoran sikap pemandu yang meletakkan kenderaan sesuka hati dan menghalang kelancaran lalu lintas. Di samping itu, terdapat juga penyalahgunaan tempat parkir oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan menjadikan kawasan parkir percuma hospital sebagai tempat meletakkan kereta sebelum mereka ke tempat kerja di sekitar bandar Kota Bharu. Dengan adanya parkir bermeter ini dapat mendisiplinkan pemandu seterusnya kesesakan lalu lintas dapat diatasi.
Untuk makluman, HRPZ II tidak mempunyai kawasan tambahan untuk dijadikan tempat parkir. Kawasan yang sedia ada adalah terlalu terhad dan perlu digunakan sepenuhnya untuk pembangunan fizikal hospital.Oleh itu, dalam masa terdekat ini pihak HRPZ II tidak dapat menyediakan kawasan parkir untuk semua pelawat, malah staf HRPZ II juga masih kekurangan parkir. Bagi mengatasi masalah kekurangan tempat parkir di masa hadapan, sebanyak 215 lot parkir akan disediakan di Kompleks Rawatan Harian yang sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap menjelang September 2013.
Sebagai alternatif bagi mengurangkan kebergantungan staf dan pelawat kepada parkir yang terhad di kawasan HRPZ II, kami mengalakkan pelawat dan pesakit menggunakan perkhidmatan kereta sewa hospital yang beroperasi 24 jam yang dilancarkan baru-baru ini. Kereta sewa hospital ini sedia mengambil penumpang dari rumah ke hospital atau sebaliknya dengan kadar tambang yang berpatutan iaitu RM 10 sehala bagi jarak lingkungan 5KM dari hospital. Orang ramai yang memerlukan perkhidmatan tersebut boleh menghubungi talian 014-5025928. HRPZ II juga menyediakan khidmat penghantaran ubat melalui pos dan Kaunter Farmasi Pandu Lalu yang boleh dihubungi melalui Talian 09-745 2469 untuk maklumat lanjut.
Orang ramai disaran menggunakan perkhidmatan tersebut kerana ia mudah, cepat dan menjimatkan serta dapat membantu pihak HRPZ II mengatasi masalah kekurangan tempat parkir.