Perkara : MAKLUM BALAS
Tajuk : KERUSI TAK CUKUP CETUS RUNGUTAN
Akhbar : BERITA HARIAN
Tarikh Siaran : 5 JUN 2012
Kategori : LAPORAN
Dikeluarkan Oleh : DR JAAFAR CHE MAT (MPM 23981)
PENGARAH
HOSPITAL TUANKU JA’AFAR
SEREMBAN
Dengan hormatnya saya merujuk perkara di atas.
Untuk makluman tuan, Hospital Tuanku Ja’afar telah menyediakan perkhidmatan pendaftaran berpusat (one stop counter) bagi tujuan pendaftaran pesakit di klinik pakar. Bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit berjumpa doktor, masa temujanji dijadualkan secara berperingkat mengikut jam. Untuk memastikan waktu temujanji ini dipatuhi dan untuk mengelakkan berlakunya kesesakan di klinik, pesakit hanya dibenarkan untuk mengambil nombor pendaftaran 30 minit sebelum waktu temujanji. Bagi pesakit yang datang mengikut masa yang ditetapkan, pihak Hospital akan memastikan pesakit tidak menunggu melebihi 20 minit untuk didaftarkan.
Pihak Hospital mengakui berlakunya masalah kerosakan mesin pengeluaran nombor pada minggu lepas dimana ianya terpaksa dibuat secara manual. Ini telah menyebabkan berlakunya kelewatan pendaftaran. Walau bagaimanapun, masalah tersebut telahpun dapat diatasi. Sebagaimana yang telah dilaporkan, keadaan ini hanya berlaku pada masa-masa tertentu sahaja.
Bilangan kerusi yang ditempatkan di kaunter pendaftaran adalah mencukupi bersesuaian dengan bilangan pesakit yang datang mengikut jam dan juga berdasarkan keluasan ruang sedia ada. Pihak Hospital tidak dapat mengediakan kerusi tambahan berikutan ruang yang terhad dan terletak bersebelahan dengan laluan utama klinik pakar. Kekurangan kerusi berlaku pada minggu lepas apabila beberapa kerusi yang rosak dihantar untuk dibaiki. Pihak Hospital juga dari masa ke semasa membuat pertambahan kerusi yang tidak boleh digunakan lagi.
Pada tahun ini, pihak Hospital juga telah menyediakan sebuah kaunter pengeluaran nombor yang berasingan di tingkat satu bagi beberapa klinik untuk mengurangkan kesesakan di kaunter pendaftaran sedia ada.
Untuk makluman tuan juga, pihak Pengurusan Hospital mempunyai perancangan untuk menyediakan lebih kaunter pendaftaran bagi melicinkan dan mempercepatkan lagi urusan pendaftaran. Bagi warga emas pula, pihak Hospital akan menyediakan sebilangan kerusi khusus untuk golongan tersebut.
Pihak Hospital mengucapkan terima kasih atas maklumbalas yang diberikan dan akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di Hospital ini.
Sekian.