14 Mac 2023 - YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan telah menyempurnakan Majlis Penutup Persidangan Penyakit Berjangkit Tropika (Tropical Infectious Disease Conference) 2023, di Hotel The Everly, Putrajaya yang dianjurkan oleh Malaysian Society of Infectious Control and Infectious Disease (MyICID) dengan kerjasama Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Objektif persidangan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan terkini berkenaan penyakit berjangkit tropika termasuk pencegahan dan rawatan di Malaysia khususnya dan dalam konteks global.
Di samping itu, persidangan ini merupakan platform kepada peserta dan penceramah untuk bertukar pandangan, pendapat dan pengalaman.
Pada tahun 2022, terdapat peningkatan kes demam denggi sebanyak 151% berbanding tahun sebelumnya iaitu 2021. Antara faktor penyebab peningkatan kes denggi ini ialah disebabkan oleh pergerakan manusia apabila semua sektor dibuka sepenuhnya pasca-pandemik COVID- 19 menyebabkan virus denggi lebih mudah tersebar ke tempat lain.
Pandemik COVID-19 merupakan satu iktibar dan pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya KKM untuk belajar dari pengalaman pengurusan wabak penyakit berjangkit dalam skala yang lebih besar. KKM akan sentiasa bersedia dari segi respon serta strategi untuk menangani wabak penyakit berjangkit pada masa akan datang yang pastinya lebih mencabar.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Dr. Asmayani binti Khalib Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), YBhg. Dato Dr Suresh A/L Chidambaram Ketua Perkhidmatan Penyakit Berjangkit KKM dan YBhg. Dato Dr Wong Peng Shyan Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Pulau Pinang merangkap Pengerusi Tropical Infectious Disease Conference 2023
Kemaskini pada 2023-03-23 12:47:12 daripada