7 April 2023 - YB Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan telah menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Kesihatan Dunia Peringkat Kebangsaan di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan, Putrajaya.
Sambutan ini merupakan hasil kerjasama KKM dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kita telah menempuhi situasi tidak menentu, berdepan konflik, pandemik COVID-19 yang berterusan, dan krisis iklim yang mengancam kemajuan kesihatan global. Justeru, tema Hari Kesihatan Sedunia 2023 "Kesihatan untuk Semua” adalah bertepatan dengan situasi semasa.
Selain itu, Tema tersebut juga bertujuan mempromosikan akses kepada kesihatan yang lebih baik. Selaras dengan tema "Kesihatan untuk Semua," Malaysia merupakan sebuah negara yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada semua, tanpa mengira status kewarganegaraan, dan tanpa diskriminasi.
YB Dr Zaliha Mustafa turut menyebut dalam ucapannya bahawa Kertas Putih Kesihatan yang bakal dibentangkan di Parlimen pada bulan Mei ini adalah sejajar dengan The WHO Council on the Economics of Health for All dalam menyeru “More finance and Better finance”, yang bermaksud kesihatan adalah pelaburan dan bukannya perbelanjaan serta mempunya peranan yang sangat penting dalam pembangunan sosial, ekonomi dan negara kita.
Kepentingan pelaburan awam boleh dilihat dari aspek sumbangan kepada ekuiti dan pengurangan kemiskinan. Sebagai contoh, program kerajaan seperti PeKa B40 dan Skim Perubatan MADANI yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah. Langkah seterusnya adalah untuk mengorientasikan semula pembiayaan sedia ada di sekitar misi mencapai "Kesihatan untuk Semua" melalui pendekatan keseluruhan kerajaan.
Turut hadir YBhg. Dato' Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Cik Karima El Korri, United Nations Penyelaras Residen bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Dr. Rabindra Abeyasinghe, Wakil WHO bagi Malaysia, Brunei Darussalam & Singapura dan YBhg Datuk Dr Norhayati Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) serta wakil duta-duta.
Kemaskini pada 2023-04-19 11:30:33 daripada