2 Mei 2023 - YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan telah menghadiri Sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan bagi Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang.
Sesi Town Hall ini merupakan sesi keempat yang dilaksanakan pada tahun ini untuk membentang inisiatif kerajaan dalam usaha menambahbaik sistem kesihatan negara. Ia juga merupakan satu kertas dasar yang menggariskan cabaran dan limitasi utama di samping mengesyorkan beberapa pendekatan strategi bagi mereformasi sistem kesihatan negara secara berfasa.
Kertas Putih Kesihatan (HWP) memberi fokus kepada beberapa aspek kesihatan termasuklah:
1. Penjagaan Kesihatan Primer (PHC) mesra rakyat yang menekankan penjagaan promotif dan preventif
2. Memperkukuh fungsi kesihatan awam termasuk kesiapsiagaan menghadapi krisis kesihatan
3. Menjalin kontrak sosial di mana peningkatan tahap kesihatan dan pembiayaan kesihatan adalah tanggungjawab semua
4. Meningkatkan pelaburan kesihatan bagi mengurangkan perbelanjaan duit poket sendiri oleh rakyat
Penambahbaikan sistem kesihatan negara ini dijangka akan menjadi satu pelaburan terbaik selain memberi jaminan ke arah peningkatan kesihatan rakyat, ekonomi dan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara yang lebih maju dan berpendapatan tinggi.
YB Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa, telah melancarkan laman sesawang Kertas Putih Kesihatan KKM pada 18 April yang lalu sebagai platform utama untuk mendapatkan maklumat berkaitan HWP. Orang awam digalakkan untuk memberikan input pandangan atau cadangan berkenaan sistem kesihatan negara di laman sesawang tersebut melalui pautan www.moh.gov.my/kertasputihkesihatan.
Kemaskini pada 2023-05-11 15:13:57 daripada